Pihak Berkuasa Negeri Perlu Tegas Membendung Kegiatan Pencerobohan dan Penerokaan Haram Kawasan Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan

Kenyataan Media                                       28 April 2020

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Pihak Berkuasa Negeri Kelantan tegas dalam membendung kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram untuk tujuan perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tanah Kerajaan terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walaupun negara masih dalam tempoh pelaksanaan PKP, Pihak Berkuasa Negeri perlu mengarahkan agensi-agensi yang berkenaan melakukan tindakan proaktif apabila menerima aduan awam atau laporan yang disiarkan oleh pihak media.

SAM dukacita kerana Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar baru-baru ini menyatakan bahawa tindakan tidak boleh dilakukan oleh agensi-agensi yang berkenaan terhadap kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Jedok (HS Jedok), Jajahan Tanah Merah kerana terikat dengan PKP sedangkan di beberapa negeri lain, agensi-agensi yang berkenaan boleh melakukan tindakan proaktif apabila menerima aduan awam.

SAM amat bimbang tentang kegiatan perlombongan haram di HS Jedok yang dilaporkan dalam Buletin TV3 adalah didalangi sekumpulan warga asing dipercayai bagi menghasilkan torium.

Di samping risiko pendedahan kepada bahan radioaktif, perlombongan ini juga akan mengganggu dan memusnahkan kawasan yang dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR) di Kompartmen 7 kerana jarak dari jalan utama ke kawasan VJR tersebut agak dekat.

Oleh itu SAM berharap supaya Pihak Berkuasa Negeri melalui agensi-agensi yang berkenaan akan mengambil tindakan yang lebih proaktif dan tegas terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate