Proses penyahwartaan harus ditangguhkan kerana pandemik COVID-19

KENYATAAN MEDIA

SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA DARIPADA PENYAHWARTAAN

Untuk Hebahan Segera

SELANGOR, 27 MAC 2020: Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor meminta supaya proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) ditangguhkan kerana penularan pandemik COVID-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan arahan penangguhan aktiviti-aktiviti untuk NGO daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah menyebabkan sebarang penilaian impak atau dialog mengenai cadangan penyahwartaan tidak mungkin akan berlaku dalam masa yang terdekat.

Gabungan merasakan bahawa pengumuman oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada 17 Mac 2020 bahawa kerajaan akan mengadakan satu sesi pendengaran awam tidak lama lagi untuk cadangan penyahwartaan HSKLU adalah tidak sesuai kerana krisis COVID-19 yang sedang melanda dan pengumuman PKP pada 16 Mac 2020.

Leela Panikkar daripada Treat Every Environment Special (TrEES) dan selaku Penyelaras Gabungan berkata, “JPPM pada 16 Mac 2020, telah melarang semua pertubuhan daripada melakukan sebarang aktiviti sehingga akhir bulan Jun untuk menangani penularan COVID-19. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga pada hari yang sama telah menangguhkan lawatan ke kampung Orang Asli di Semenanjung. Ini telah membuatkan sebarang dialog dan penilaian mengenai kepentingan hutan simpan tersebut kepada Orang Asli mustahil untuk diadakan. Tambahan lagi, dengan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac 2020 dan lanjutan hingga ke 14 April 2020, pihak berkepentingan tidak boleh berbincang dan membuat persediaan untuk sesi pendengaran awam tersebut.”

 “Berikutan larangan perhimpunan awam kerana penularan pandemik COVID-19 adalah tidak sesuai untuk kerajaan negeri mengadakan sesi pendengaran awam tersebut. Ini kerana komuniti Orang Asli yang terjejas dan seramai 40,000 orang awam harus dijemput untuk sesi pendengaran tersebut kerana mereka telah menghantar bantahan masing-masing,” kata Faizal Parish daripada Global Environment Centre (GEC) dan ahli Gabungan tersebut. “Oleh itu, kami meminta supaya cadangan sesi Pendengaran Awam dan segala langkah-langkah atau urusan dalam proses cadangan penyahwartaan ditangguhkan sehingga selepas Julai 2020.”

Dengan itu, Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor meminta dan menyeru supaya Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan proses penyahwartaan HSKLU secara rasmi dan memberi fokus kepada isu-isu yang lebih penting; menangani krisis COVID-19 yang sedang melanda dan kesannya kepada masyarakat dan ekonomi tempatan.

TAMAT

____________

Nota

Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah meletakkan notis cadangan penyahwartaan pada 5 Februari 2020 dan menjemput semua pihak berkepentingan di Daerah Kuala Langat untuk menghantar bantahan, yang mana hal ini telah mendorong pelbagai NGO alam sekitar dan sosial serta orang awam bertindak menyertai kempen “Selamatkan HSKLU”. Ditubuhkan sebagai respon kepada notis tersebut, Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor, merangkumi tujuh NGO alam sekitar dan sosial, telah mengumpulkan 43,502 bantahan daripada orang awam dan penduduk daerah Kuala Langat dalam masa 20 hari dan telah menyerahkan bantahan-bantahan tersebut kepada Kerajaan Negeri pada 5 Mac 2020. 

HSKLU adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah  Rancangan Fizikal Negara 3 (RFN-3) dan KSAS Risiko Bencana dalam Dasar Matlamat Pembangunan 16 (MP16) dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Ia juga ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan di bawah Rancangan Tempatan Kuala Langat yang dwartakan baru-baru ini.  Di bawah pelan-pelan rancangan ini TIADA pembangunan dibenarkan dalam KSAS Tahap 1 untuk mengelakkan impak serius kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Cadangan mengeluarkan tanah dari HSKLU adalah tidak selari dengan Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011 – 2020), Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025), dan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 (Akta 385) yang berkaitan dengan pemuliharaan dan perlindungan sumber alam semulajadi, termasuk lain-lain obligasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Mengenai  Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor

Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor terdiri daripada tujuh pertubuhan alam sekitar yang telah ditubuhkan berikutan kebimbangan kami apabila Negeri Selangor bakal kehilangan hutan simpan paya gambut yang amat penting, kaya dengan biodiversiti dan khazanah bagi masyarakat Orang Asli. Gabungan ini menggesa untuk perlindungan dan pemuliharaan hutan di Negeri Selangor serta bekerja rapat dengan pakatan, sekutu dan rangkaian lain untuk menekankan kepentingan ekosistem dan biodiversiti hutan dalam mengawal iklim dunia dan kemapanan semula jadi. Gabungan ini juga menggalakkan penghormatan terhadap hak dan identiti komuniti orang asli yang wujud bersama hutan Malaysia sejak beribu tahun dahulu. Untuk maklumat lanjut mengenai Gabungan, kunjungi:

https://www.facebook.com/Coalition-for-the-Protection-of-Selangors-Forests-102562088005138/

Ahli-ahli Gabungan ialah:

  • Center for Orang Asli Concerns Malaysia (COAC)
  • Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia)
  • Global Environment Centre (GEC)
  • Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  • Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)
  • Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  • Treat Every Environment Special (TrEES)

 

Untuk maklumat lanjut / pertanyaan media, sila hubungi:

Global Environment Centre (GEC) : 

    Nagarajan Rengasamy  -   nagarajan@gec.org.my             012-296 8434

    Shafinaz Shahabudin -       shafinaz@gec.org.my               012 513 5495

 

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS):  

    Lee Ee Ling -                       lee_eeling@yahoo.com                016-965 3317

 

Sahabat Alam Malaysia (SAM):

    Mageswari Sangaralingam-          foemalaysia@gmail.com

 

Treat Every Environment Special (TrEES):

    Leela Panikkar-                 treateveryenvironmentspecial@gmail.com               012 391 2521

Join Donate