SAM Alu-alukan Gesaan Diraja Bagi Perlindungan Hutan dan Pokok di Malaysia

Surat kepada Pengarang                                                    5 Mac 2020

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan gesaan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini yang menyeru betapa perlunya dilindungi hutan dan pokok.

Menurut laporan media, Sultan Nazrin berkata “pokok dan hutan tidak lagi dihargai, memandangkan ia semakin dilihat sebagai hasil komersial untuk kayu balak, sementara hutan dilihat sebagai tanah untuk pertanian komersial yang mengakibatkan berleluasanya pembalakan.” Baginda dilaporkan membuat kenyataan ini di majlis perasmian sambutan Hari Lanskap peringkat negeri pada 3 Mac lalu.

SAM bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan Baginda berhubung bagaimana hutan dan pokok kita tidak dihargai sepenuhnya, terutama sekali peranan penting yang dimainkan dalam pengasingan karbon dioksida, yang merupakan gas utama dalam pelepasan gas rumah hijau.

Seperti mana yang dinyatakan oleh Baginda Sultan, “Setiap pokok muda mampu untuk menyerap 13 paun karbon dioksida setahun dan pokok itu berada pada peringkat paling produktif selepas 10 tahun dan mampu untuk menyerap 48 paun karbon dioksida setiap tahun, dengan itu membekalkan oksigen kepada dua orang.” Baginda juga berkata, “secara purata, seekar hutan mampu mengasingkan 2.5 tan karbon dioksida setahun. Setiap tan pokok yang membesar akan mampu untuk menyerap 1.5 tan karbon dioksida,” dan menyeru supaya langkah penyesuaian dan pencegahan yang mesti dipelopori dan dilaksanakan untuk memastikan kemampanan alam sekitar.

Oleh itu, amat penting untuk melindungi hutan dan pokok kita memandangkan ia memainkan peranan penting sebagai pengasingan karbon dan juga penting dalam melindungi kekayaan biodivesiti flora dan fauna kita serta menyediakan khidmat ekosistem kritikal termasuk dalam perlindungan tanah dan air.

SAM sudah lama berjuang bagi menentang penebangan hutan dan pokok yang berterusan sejak beberapa dekad lepas dan kami merasa amat gembira bahawa suara penting daripada Baginda telah memberikan kepercayaan terhadap gesaan kami.

Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Daripada Kemusnahan

Dalam konteks ini, kami merasa amat tertekan dengan cadangan menyahwartakan kira-kira 930 hektar (atau kira-kira 2,300 ekar) Hutan Simpan Utara Kuala Langat (KLNFR) bagi projek pembangunan bercampur di Selangor.

Kebanyakan KLNFR terletak di kawasan tanah gambut yang penting bagi menyimpan karbon disebabkan bahan organik hutan yang terkumpul beribu tahun. Membersihkan dan mengeringkan hutan itu akan mengakibatkan pengoksidaan bahan organik ini dan melepaskan karbon ke dalam atmosfera.

Amat penting untuk diingatkan bahawa tanah gambut menyimpan kira-kira 10 kali lebih banyak karbon per hektar berbanding dengan jenis hutan tropika lain. Nilai pemuliharaan KLNFR termasuklah berfungsi sebagai penyimpan karbon daratan asli dan mengawal komposisi karbon dioksida dalam atmosfera. Kemerosotan hutan paya gambut merupakan penyebab utama pengumpulan gas rumah hijau dalam atmosfera dan merupakan salah satu penyumbang utama kepada perubahan iklim global.

KLNFR mempunyai kemampuan untuk menyimpan karbon sehingga 1,600 tan karbon per hektar. Jumlah kemampuan stok simpanan KLNFR ialah kira-kira 1,500,000 tan karbon. Dianggarkan 5.5 juta tan pelepasan karbon dioksida boleh dielakkan jika KLNFR dikekalkan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang dilindungi selama-lamanya.

Memandangkan kepentingan hutan dan pokok dalam mengawal iklim kita, SAM menggesa semua negeri di negara ini menghentikan pemusnahan hutan dan pokok kita. Khususnya, KLNFR seharusnya tidak dimusnahkan bagi tujuan apa yang dipanggil ‘pembangunan bercampur’.

Sudah tentu Kerajaan Persekutuan mampu untuk memastikan hutan negeri dilindungi, dipulihara dan memulih hutan mereka melalui peruntukan geran antarabangsa yang boleh diperolehi bagi usaha seperti itu untuk menangani perubahan iklim dan memulihara biodiversiti. Hanya melalui usaha ini Malaysia mampu untuk memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen Kepelbagaian Bio.

Negeri-negeri mestilah bekerjasama dalam menghargai hutan dan pokok dan dalam melindunginya, patuhlah kepada titah Sultan Nazrin.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate