SAM,CAP Gesa Haramkan Import Sisa Plastik

Kenyataan Akhbar                                    10 Mei 2019 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan pengimportan sisa plastik di negara ini demi menjaga alam sekitar dan kesihatan orang ramai.

Sehubungan itu kami meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan menghentikan pengeluaran permit (Approved Permits – AP) bagi tujuan tersebut dengan segera.

Mengulas laporan akhbar tempatan (Sinar Harian : 10 Mei 2019) hari ini mengenai kejadian pencemaran bau busuk akibat pembakaran sisa plastik di Sungai Petani Kedah, kami berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

Dalam kejadian tersebut penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran kawasan Perindustrian Cendana di sini terjejas kehidupan mereka kerana pengusaha kilang terbabit telah melakukan pembakaran terbuka sisa buangan itu berhampiran kediaman mereka.

Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Keladi,Taman Sri Wang,Bandar Sri Astana,Bandar Cendana,Taman Patani Jaya,Taman Delima,Taman Intan dan Bakar Arang.

Kami merasa kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun ia dibiarkan sehingga keadaan itu menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kawasan ini seperti sakit kepala,pening dan sering mengalami gangguan ketika tidur.

Kami bimbang dan percaya jika kegiatan pembakaran sisa buangan itu berterusan bukan saja alam sekitar di kawasan tersebut akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah berbagai penyakit berbahaya akan dihidapi oleh penduduk di sini akibat pelepasan gas toksik yang berlaku.

Kami menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang di dapati bersalah melakukan perbuatan itu berdasarkan undang-undang yang ada agar kejadian ini tidak berulang.

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate