SAM & CAP sokong aktiviti pembalakan di Bukit Perangin dihentikan

Kenyataan Akbar                                   18September 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong keputusan kerajaan Kedah menghentikan aktiviti pembalakan di Bukit Perangin daerah Kubang Pasu di sini kerana ia memberikan kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah di akhbar tempatan (Sinar Harian : 26.8.2018) mengenai perkara itu, kami berpendapat adalah tepat masanya bagi kerajaan baharu tersebut berbuat demikian kerana penderitaan yang dialami oleh lebih 400 penduduk Kampung Wang Perah sudah berlarutan sejak sekian lama.

Amiruddin berkata, beliau khuatir sekiranya aktiviti ini diteruskan akan berlaku kejadian yang tidak terkawal sehingga menyebabkan ekosistem Hutan Lipur Bukit Wang berhampiran terganggu.

Dalam perkembangan berkaitan kami mendapati selain banjir lumpur yang kerap melanda kampung berkenaan, sungai dan sawah padi di kawasan itu akan tercemar serta terancam dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang jika langkah sedemikian tidak diambil oleh kerajaan negeri ini.

Bermula 2013 sehingga 2017 kami telah beberapa kali menyuarakan bantahan melalui media dan surat rasmi terhadap aktiviti tersebut kepada kerajaan terdahulu termasuk jabatan yang terlibat tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Justeru kami mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang dewan baru-baru ini yang menyatakan bahawa Kedah sedang bergerak ke arah sifar penebangan balak.

Di samping melaksanakan penanaman semula spesies pokok yang sesuai di kawasan yang telah diteroka, kami juga menggesa kerajaan Kedah mewartakan lebih banyak lagi kawasan hutan di negeri ini sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi tujuan perlindungan.

Kami percaya krisis bekalan air yang meruncing dihadapi penduduk dan para pesawah serta banjir kilat yang kerap melanda beberapa daerah di negeri ini akan dapat diatasi dengan lebih berkesan jika aktiviti pembalakan dihentikan dan kawasan hutan dikekalkan.

 

S.M.MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate