Sam gesa kerajaan kelantan hormati hak tanah adat orang asli

Kenyataan Akhbar                                     1 Mac 2018                   

Blockade in Cawas, Gua Musang              Gambar : SAM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) kesal kerana Pihak Berkuasa Negeri Kelantan masih  meluluskan aktiviti pembalakan, projek ladang monokultur, tukar-guna tanah kepada pertanian dan perlombongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri Kelantan tanpa menghormati hak tanah adat masyarakat Orang Asli. 

Tukar-guna tanah dalam HSK bukan hanya memusnahkan litupan hutan asal (hutan asli) melalui kaedah pengusahasilan secara tebang habis yang menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat terjejas, tetapi juga telah menjejas hak-hak dan kehidupan masyarakat Orang Asli khususnya. 

Sejak 15 Februari 2018 yang lalu, masyarakat Orang Asli dari suku kaum Temiar telah mendirikan beberapa sekatan termasuk di Cawas, Simpor, Kampung Kuala Wok di Jajahan Gua Musang, Ulu Kelantan untuk menghalang kerja pembalakan, perlombongan dan ladang berskala besar di HSK

SAM kecewa kerana pihak berkuasa negeri Kelantan tidak mempertimbangkan syor-syor yang dikemukakan oleh kami dan masyarakat Orang Asli sebelum ini.

Semasa pertemuan pihak SAM dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Haji Mohd Amar Nik Abdullah pada 1 November 2016, SAM telah mengemukakan memorandum kepada Pihak Berkuasa Negeri berhubung Cadangan Penambahbaikan Terhadap Pengurusan Hutan di Negeri Kelantan.

Antara perkara utama memorandum yang dikemuka tersebut ialah kebimbangan terhadap kelulusan pelaksanaan projek ladang monokultur yang semakin meningkat iaitu pada tahun 2013 kepada 162,485 hektar atau 26% daripada keluasan HSK di negeri Kelantan yang seluas 623,849 hektar.

Wakil masyarakat Orang Asli yang dibawa oleh SAM juga telah menjelaskan isu-isu berbangkit kepada Dato’ Mohd Amar kesan daripada kegiatan pengusahasilan hutan (terutama pembalakan) bagi tujuan pelaksanaan projek ladang monokultur di samping mengemukakan syor-syor melalui dokumen bertulis.

Sebelum itu pada 25 Mac 2015, SAM pernah mengemukakan surat kepada Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Haji Ahmad Yakob melalui Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar berhubung perkara berkaitan pengurusan hutan di Negeri Kelantan.                               

Blockade in Kg Kuala Wok, Gua Musang                          Gambar : SAM

Semasa sesi perbincangan di antara Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) alam sekitar pada 26 Mei 2017, sekali lagi SAM mengemukakan syor dan cadangan melalui dokumen bertulis.

Salah-satu syor dan cadangan bertulis ialah supaya semua Jabatan Perhutanan Negeri memberhenti dan tidak melaksanakan lagi pelaksanaan projek ladang monokultur termasuk lain-lain kegiatan seperti perlombongan dan kuari dalam HSK.

Tetapi sehingga kini semua dokumen yang dikemukakan oleh SAM masih tidak mendapat maklum balas sama ada daripada Kerajaan Negeri Kelantan mahupun daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Sebaliknya sehingga kini, Kerajaan Negeri Kelantan masih meneruskan pelaksanaan projek ladang monokultur berskala besar di kawasan HSK.

Kesan kepada kehidupan masyarakat setempat terutama masyarakat Orang Asli seperti takungan air, penempatan, perkuburan dan kawasan mendapatkan hasil hutan masih terus diganggu dan dimusnahkan oleh syarikat-syarikat yang diberi lesen mengusahasil dan syarikat yang diberi kelulusan melaksanakan projek ladang monokultur di negeri Kelantan.

Oleh itu SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri akan melaksanakan saranan-saranan berikut:

  1. Menghentikan pengubahan HSK kepada ladang monokultur serta operasi perlombongan.
  2. Mematuhi dan menggunapakai pelan-pelan Rancangan Fizikal Negara (RFN) tentang Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dan Central Forest Spine (CFS).
  3. Tidak membenarkan lagi pembalakan di kawasan berhutan berketinggian 1,000m dan melebihi. Kawasan-kawasan ini sudah dikategorikan sebagai KSAS Tahap
  4. Memastikan hak tanah adat Orang Asli dihormati dan diambil kira di dalam pengurusan perhutanan dan tanah, termasuklah:

(i) Menghentikan segala pemberian lesen operasi pembalakan, pembangunan ladang, perlombongan dan pengambilan sumber-sumber asli di wilayah-wilayah tanah adat Orang Asli.

(ii) Memastikan prosedur pemberian Izin Maklumat Awal, Bebas dan Telus (IMABT) dari masyarakat Orang Asli digunapakai sepenuhnya di dalam segala proses pewartaan tanah dan hutan serta sebarang cadangan penukar-gunaan tanah HSK di negeri Kelantan.

(iii)  Memperkenalkan proses pemetaan dan penandaan sempadan bersama wilayah hak tanah adat Orang Asli berdasarkan keluasan yang dipersetujui oleh anggota masyarakat, bagi tujuan pewartaan wilayah-wilayah ini dan disertai dengan pemberian geran komunal.

SAM bimbang kalau saranan tertera di atas tidak dilaksanakan, kesan alam sekitar yang lebih serius seperti banjir, pemendakan serta pencemaran sungai, impak kepada kepelbagaian hayat, flora dan hidupan liar akan berlaku. Kehidupan masyarakat orang asli yang bergantung hidup kepada sumber alam sejadi akan semakin terpinggir.

S.M. MOHAMED  IDRIS

Presiden

Join Donate