SAM gesa masalah banjir penduduk Sungai Bakau ditangani segera

Seorang penduduk yg terlibat menunjukkan limpahan air darikolam ternakan ikan keli berhampiran rumahnya  Gambar : SAM

 

Kenyataan AKbar                                  5 April 2019

Sahabat  Alam Malaysia (SAM)  menggesa  Jabatan  Pengairan  dan Saliran (JPS),  Majlis Daerah Kerian (MDK)  dan  Jabatan  Perikanan Perak segera menyiasat punca masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kampung Tanah 100 Sungai Bakau dekat Parit Buntar di sini.

Kejadian yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu kini semakin kerap berlaku menyebabkan peralatan serta perabut di beberapa buah rumah di kampung berkenaan mengalami kerosakan.

Masalah ini telah dimaklumkan kepada pihak berwajib namun hingga sekarang tidak ada  tindakan yang diambil bagi menangani masalah tersebut dengan berkesan.

Beginilah sisa lumpur dari kolam ternakan ikan  keli yg mendap dlm saliran   Gambar : SAM

 

Dalam tinjauan yang dibuat SAM difahamkan oleh penduduk-penduduk yang terlibat bahawa keadaan ini berlaku berpunca dari sistem saliran yang tidak sempurna dan pembuangan sisa dari kolam ternakan ikan keli berhampiran.

SAM mendapati saliran sepanjang 200 meter berhampiran kolam ternakan ikan keli di kampung tersebut dipenuhi sisa lumpur manakala sekitarnya pula digenangi air yang bertakung serta berbau busuk.

Terdapat juga kawasan sawah di kampung ini terbiar kerana tidak boleh diusahakan akibat diancam limpahan sisa buangan dari kolam ternakan ikan keli di kampung itu.

SAM kesal walau pun kejadian ini sudah lama berlaku dan mengancam kehidupan penduduk kampung di sini tetapi tidak ada pihak yang tampil menyelesaikannya. SAM turut mempersoalkan bagaimana projek akuakutur boleh dibenarkan beroperasi di kampung itu tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Justeru SAM meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG),Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang serta peraturan berkaitan.

SAM percaya dan bimbang jika punca masalah ini gagal ditangani dengan berkesan bukan saja kehidupan penduduk-penduduk kampung berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi malah alam sekitar dan kawasan sawah di sini juga akan turut musnah pada masa akan datang.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate