SAM Gesa Pihak Berkuasa Jelaskan Apa yang Sedang Berlaku

Kerja-kerja tanah dan pemotongan bukit dilakukan di cerun yang sangat curam di Gunung Erskine        Gambar : SAM 

Siaran Akhbar                                                         18 November 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat cemas dan bimbang berhubung kerja-kerja tanah dan pemotongan bukit yang sedang dijalankan di kawasan cerun yang amat curam di Mount Erskine, Pulau Pinang, berdekatan dengan pangsapuri Mont Residence di Tanjung Tokong.

SAM dimaklumkan berhubung kerja memotong bukit oleh penduduk Pulau Pinang yang amat prihatin dengan keadaan itu, yang turut berkongsi gambar kerja tanah yang sedang berjalan.

Kami difahamkan bahawa sebahagian kerja pemotongan bukit yang begitu ketara itu melibatkan cerun melebihi 250 kaki (75 meter) dan berada pada kecerunan yang amat curam iaitu melebihi 25 darjah.

SAM juga mendapati pada September 2018, Penang Hills Watch (PHW), yang merupakan sebuah inisiatif Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), telah memaklumkan kepada pihak berkuasa  dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengenai aktiviti pemotongan bukit.

Kami difahamkan bahawa PHW dimaklumkan bahawa “kerja mitigasi” dijalankan di tapak itu, di mana tanahnya dimiliki oleh Kerajaan Negeri.

SAM menggesa pihak berkuasa dan MBPP menjelaskan apakah “kerja mitigasi” ini dan kenapa cerun yang curam itu dipotong dan dibersihkan?

Dasar kerajaan negeri di bawah Pelan Struktur Pulau Pinang ialah untuk melindungi tanah bukit dan tidak membenarkan kerja-kerja tanah di atas tanah melebihi 250 kaki atau cerun yang melebihi kecerunan 25 darjah, dan memandangkan ini adalah tanah awam, kami amat bimbang dengan kerja pemotongan dan pembersihan bukit yang sedang berjalan.

Kami juga amat bimbang dengan banyak bahagian cerun itu yang kini sudah terdedah, dengan musim hujan sekarang, hakisan tanah yang serius akan berlaku, ini akan menyumbang kepada tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan itu.

Kami juga amat bimbang akan berulangnya tragedi tanah runtuh sepertimana yang berlaku di tapak Granito dan Bukit Kukus di Paya Terubong yang membawa kepada kematian pekerja yang bekerja di kawasan itu.

Pihak berkuasa dan MBPP mestilah menjelaskan dengan segera kerja-kerja yang sedang berjalan itu dan juga mengambil langkah segera untuk mencegah sebarang kesan sosial dan alam sekitar disebabkan oleh aktiviti pemotongan bukit dan kerja tanah.

 

Meenakshi Raman

Presiden         

Join Donate