Sam Gesa Punca Banjir Lumpur Di Bayan Baru Ditangani Segera

Kenyataan Media                                         25 Julai 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah banjir lumpur yang kerap berlaku di kawasan Bayan Baru di sini.

SAM kesal walau pun kejadian tersebut sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu namun ia masih belum diambil tindakan dengan berkesan.

Baru-baru ini (24 Julai 2019) kejadian serupa berulang lagi di mana beribu pengguna jalan dan premis perniagaan di kawasan berkenaan telah terjejas. Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati mendapan sisa lumpur di atas jalan raya di sekitar Bayan Baru telah menyebabkan berlaku kesesakan kenderaan yang serius.

Sekarang keadaan menjadi lebih buruk apabila lumpur yang sudah kering bertukar menjadi habuk dan mengancam orang awam.  SAM bimbang jika masalah ini tidak ditangani segera ia boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai.

Justeru itu SAM meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat punca kejadian banjir lumpur di kawasan ini secara menyeluruh terutamanya di semua tapak projek pembangunan yang dalam pembinaan.

Hakisan tanah akibat penerokaan bukit di Sungai Ara mungkin menjadi salah satu faktor kejadian banjir lumpur melanda kawasan Bayan Baru. SAM menggesa supaya aktiviti tersebut dihentikan segera agar alam sekitar tidak terus terancam dan pembaikpulihan dilakukan agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan.

Keadaan saliran yang sempit dan gagal menampung pengaliran air ketika hujan perlu diperbesarkan supaya tidak berlaku limpahan dan ancaman banjir lumpur pada masa akan datang.

SAM menegaskan kerajaan negeri, MBPP, JPS dan lain-lain jabatan serta agensi yang terlibat wajar memberi perhatian serius terhadap perkara ini dengan membuat perancangan yang lebih teliti.  Di samping itu pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas agar masalah banjir lumpur di kawasan ini tidak berlaku lagi.

 

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate