SAM harap kerajaan negeri pulau pinang dan agensi kerajaan yang berkaitan serius tangani isu pencemaran najis khinzir

Kandang Khinzir di Gertak Sanggul                               Gambar: SAM 

Kenyataan Akbar                                    19September 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya benar-benar serius dengan tindakan tegas terhadap dua ladang khinzir yang beroperasi di Gertak Sanggul di sebelah barat daya pulau yang didakwa melepaskan sisa kumbahan tidak terawat ke dalam laut. Tindakan segera diperlukan agar penduduk, nelayan dan orang awam yang sering berkunjung ke kawasan tersebut yakin dengan apa yang dikatakan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani masalah yang telah sekian lama berlaku ini.

SAM telah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak-pihak yang berkenaan seperti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan  Veterinar (JPV) namun perkara ini masih tetap berlaku seolah pihak-pihak yang berkenaan tidak mengambil serius untuk menyelesaikan segala permasalahan ini.

Mesyuarat dan lawatan lapangan juga telah diadakan sebelum ini malah jaminan yang diberikan oleh beberapa agensi-agensi yang terlibat untuk menangani isu pencemaran ini seumpama kata-kata manis tapi tiada tindakan yang berkesan diambil. Perkara ini amat mengecewakan dan membimbangkan.

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Dr. Afif Bahardin melalui portal Free Malaysia Today (FMT) yang bertarikh 17 September 2018 menyatakan bahawa kumbahan tak terawat itu bukan sahaja memberi kesan ke atas penduduk yang tinggal sepanjang pantai dengan bau busuk tetapi juga menggugat tangkapan nelayan di situ. Malah katanya lagi, beliau kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah penternak khinzir yang gagal menyelia ladang mereka dengan baik dan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Artikel tersebut juga menyatakan selama berdekad-dekad ladang khinzir di Gertak Sanggul dan banyak tempat di Seberang Perai memberi kesan buruk ke atas alam sekitar. Seharusnya pihak-pihak yang bertanggungjawab mengakui kebenaran tersebut bahawa kebanyakan sisa-sisa buangan dan  kumbahan yang terhasil dari ladang ternakan khinzir yang dilepaskan ke parit, sungai atau laut adalah tidak dirawat 100%.

Apabila sistem rawatan kumbahan tidak digunakan, masalah seumpama ini akan timbul dan menyebabkan rasa kurang senang penduduk dan nelayan yang berhadapan dengan bau yang busuk selain menyebabkan pencemaran di sekitar kawasan berhampiran.

Selain itu, akhbar The Star turut melaporkan pencemaran dari ladang khinzir telah mencemarkan kawasan pantai di Gertak Sanggul dan ahli biologi marin memberi amaran bahawa sejenis bakteria boleh menjangkiti makanan laut di Gertak Sanggul dengan pathogen berbahaya yang berkemungkinan dari penularan bakteria salmonlella, E-Coli serta virus Hepatitis A.

SAM menggesa semua pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas pengusaha ternakan khinzir yang mencemarkan kawasan pesisir pantai di Gertak Sanggul ini. SAM percaya jika masalah ini dibiarkan ia bukan saja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah kesihatan penduduk dan sumber pendapatan nelayan yang  bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan juga akan turut terjejas.

Justeru SAM berharap apa yang telah diperkatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Pulau Pinang Dr. Afif Bahardin pada kali ini menjadi bukti kepada penduduk tempatan bahawa pihak beliau  benar-benar serius untuk tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap penternak khinzir yang tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.

 

S M Mohamed Idris

Presiden

Join Donate