SAM harap pihak Jabatan Perikanan serius tangani isu pencerobohan Pukat Kenka - Nelayan kecewa suara mereka tidak diendahkan

Pukat kengka 2 bot di Kuala Kurau, Perak        Gambar : SAM
Kenyataan Akhbar                                              13 Julai 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak Jabatan Perikanan Malaysia supaya benar-benar serius dengan tindakan yang akan diambil terhadap isu pencerobohan vesel-vesel pukat Apollo yang masih berleluasa di sekitar kawasan perairan Kerian hingga ke perairan Pulau Pinang agar nelayan-nelayan di sekitar kawasan tersebut yakin dengan apa yang dikatakan oleh pihak Jabatan Perikanan untuk menangani masalah yang telah sekian lama diperjuangkan mereka.

Walaupun pelbagai saluran aduan telah diambil namun pencerobohan mas ih tetap berlaku seolah pihak-pihak yang berkenaan tidak mengambil serius untuk menyelesaikan segala permasalahan ini. Menurut komuniti-komuniti nelayan tempatan, pencerobohan vesel pukat Apollo tidak kenal waktu siang atau malam malah ia semakin menjadi-jadi tanpa menghiraukan mana-mana pihak. Menurut mereka lagi, sekiranya aktiviti pencerobohan dijalankan pada waktu malam, bot-bot tersebut begitu hampir dengan jeti-jeti nelayan malah pernah ditegur oleh sekumpulan nelayan namun mereka tetap meneruskan aktiviti haram berkenaan.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia melalui portal Bernama bertarikh 23hb Jun 2018iaitu tindakan tegas akan dikenakan termasuk penggantungan dan pembatalan lesen kepada pengusaha vesel pukat Apollo yang didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang tetapkan. Malah menurut Ketua Pengarah lagi pihaknya turut mengesan pencerobohan vesel menangkap ikan di Pulau Pinang adalah dari daerah Kerian, Perak yang mana ia sepatutnya beroperasi dalam kawasan khas yang telah ditetapkan koordinatnya dalam perairan negeri Perak.

Artikel tersebut juga menyatakan terdapat lebih kurang 250 pasang vesel pukat kenka yang masih beroperasi. Vesel-vesel tersebut telah menceroboh di perairan negeri Pulau Pinang sehingga ke Zon A malah sehingga sampai berhampiran sangkar ternakan ikan. Pihak Jabatan Perikanan juga dilaporkan telah melancarkan Program Gegar Kenka 2 Bot bagi membanteras pencerobohan pukat Apollo dapat dibendung yang mana ia mengakibatkan pendapatan nelayan setempat terjejas. Selain itu, pihak Jabatan Perikanan juga telah mengeluarkan pekeliling bagi penghapusan pukat kenka dua bot secara berperingkat menerusi langkah-langkah kawalan sehingga tahun 2020.

Walaupun pihak berkuasa menyatakan semua tindakan ini sedang diambil, rata-rata nelayan pantai masih berasa kecewa dan putus asa dengan pihak-pihak berkuasa kerana tiada tindakan berkesan diambil terhadap aduan-aduan yang dikemukakan mereka. Bukan sahaja aduan melalui telefon, malah aplikasi canggih turut digunakan seperti Facebook, WhatsApp, Instagram,  Mesengger, E-mail serta Talian Hotline untuk mereka kemukakan aduan berserta gambar dan juga video bukti pencerobohan namun keadaannya masih sama.

Justeru SAM berharap apa yang telah diperkatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia melalui portal Akhbar Bernama menjadi bukti kepada seluruh masyarakat nelayan pantai bahawa pihak Jabatan Perikanan benar-benar serius untuk membanteras pencerobohan pukat Apollo ini.

 

S M Mohamed Idris

President


Showing 1 reaction

Join Donate