SAM Mengalu-alukan Kajian Semula Dasar Perhutanan Negara

Surat Kepada Pengarang                             20 Mac 2018

Sempena Hari Perhutanan Sedunia pada 21 Mac, Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa gembira dengan usaha terkini kerajaan Malaysia untuk meneliti semula Dasar Perhutanan Negara yang telah dilancarkan pada 1992 (NFP 1992).

Memandangkan dasar itu perlu disemak semula selepas beberapa lama, kami mengalu-alukan langkah itu kerana dokumen sembilan muka surat itu perlu dikemaskini selaras dengan cabaran semasa dan komitmen antarabangsa yang perlu ditangani oleh negara.

Adalah diketahui umum bahawa Malaysia telah memberikan ‘komitmen’ kepada komuniti antarabangsa bahawa ia akan mengekalkan 50 peratus kawasan bertanahnya (330,712 km2 atau 33 juta hektar) di bawah liputan hutan. Ini bermakna, keluasan litupan hutan semula jadi negara akan dikekalkan pada takat 16.5 juta hektar. Litupan ini akan turut meliputi kawasan yang dikelaskan sebagai hutan pengeluaran, di mana aktiviti pembalakan dijalankan di bawah sistem pengurusan hutan lestari (SFM).

Janji ini pertama kali dibuat di Sidang Kemuncak Rio pada Jun 1992 dan senantiasa diulangi di banyak acara antarabangsa berkaitan kelestarian alam sekitar, termasuklah di Persidangan Pembangunan Lestari PBB atau Rio +20, persidangan susulan 20 tahun dari Sidang Kemuncak Bumi 1992.

Janji ini juga sering diwar-warkan oleh pihak kerajaan sebagai bukti kukuh komitmen Malaysia untuk melindungi hutan semula jadi bagi menjamin asas kesejahteraan ekologi negara dan seterusnya, merupakan sumbangan Malaysia terhadap keseimbangan ekologi global. Komitmen ini bertambah penting setelah fungsi hutan di dalam menyerap pelepasan karbon turut dikenalpasti di dalam usaha untuk menstabilkan proses pemanasan bumi dengan harapan, suhu dunia akan dapat dikembalikan kepada keadaan sediakala.

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa sebenarnya, dokumen dasar tentang urus tadbir perhutanan ini – NFP 1992 – tidak ada menyentuh apa-apa pun tentang komitmen ini. Mengambil kira pembangunan berterusan yang akan berlaku di masa hadapan, tentunya terdapat kebimbangan besar bahawa akan adanya peningkatan segala macam tekanan terhadap litupan hutan negara, termasuklah peningkatan pencerobohan hutan dan penukaran guna tanah hutan kepada tujuan lain.

Menurut statistik keluasan litupan hutan negara yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE), yang meliputi Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan hutan tanah kerajaan, telah terdapat sedikit pengurangan keluasan berlaku, yakni dari 18.5 juta hektar pada tahun 1992 kepada 18.2 juta hektar pada tahun 2014. Perlu dijelaskan di sini juga, bahawa hutan tanah kerajaan sebenarnya lebih terdedah kepada ancaman penukaran guna tanah. Oleh itu, sumbangan berterusannya terhadap keluasan litupan hutan negara tidak dapat dijamin.

Oleh itu, HSK yang diwartakan dan tertakluk kepada peruntukan penggantian apabila dinyahwartakan, tentunya memberikan statistik yang lebih kukuh. Bagaimanapun, statistik rasmi HSK menunjukkan bahawa hutan tanah pamah yang membentuk sebahagian besar keluasan litupan hutan negara telah berkurang dari 10.58 juta hektar kepada 10.12 juta hektar. Dalam pada itu, hutan paya gambut pula telah separuh berkurang, dari 1 juta hektar kepada 0.5 juta hektar dalam tempoh yang sama.

Sumbangan terhadap 50 peratus keluasan litupan hutan negara, menurut tiga wilayah di Malaysia pula adalah 6.63 juta hektar bagi Semenanjung Malaysia, 3.68 juta hektar bagi Sabah dan 6.22 juta hektar bagi Sarawak.

Oleh itu, berdasarkan statistik rasmi ini, Semenanjung Malaysia tidak mampu untuk memenuhi komitmen tersebut, memandangkan keluasan litupan hutannya pada tahun 2014 hanyalah sekadar 5.8 juta hektar sahaja. Sementara itu, keluasan litupan hutan di Sabah tercatat sebanyak 4.44 juta hektar dan manakala di Sarawak, keluasan yang direkodkan adalah 8 juta hektar.

Akibat dari tekanan yang semakin tinggi terhadap penggunaan tanah bagi menjana aktiviti ekonomi seperti perlombongan, perladangan, pembangunan infrastruktur termasuklah pembinaan empangan, dan pembangunan zon industri dan penempatan, amatlah penting kajian semula NFP 1992 ini mengambilkira komitmen 50 peratus litupan hutan tersebut, memandangkan terdapat pelbagai cabaran baharu yang akan kita hadapi.

Makanya itu, kami menggesa kerajaan Malaysia agar menunaikan janjinya untuk mengekalkan keluasan litupan hutan negara ini dengan memasukkan komitmen ini di dalam semakan terkini NFP ini. Ini akan memastikan bahawa apa-apa perancangan ekonomi di masa hadapan tidak akan menjejaskan kepentingan pembangunan yang lebih lestari, termasuklah keperluan mengimbangi antara fungsi hutan di dalam menjana sumber ekonomi dan peranannya di dalam memberikan pelbagai perlindungan ekologi.

Memandangkan hal ehwal hutan dan tanah berada di bawah bidang kuasa negeri, dasar ini juga perlu mempertimbangkan pembangunan sebuah mekanisme perkongsian beban antara negeri-negeri, di dalam usaha mencapai sasaran 50 peratus litupan hutan ini. Dasar ini tidak akan mencapai matlamatnya melainkan jika terdapatnya sebuah rancangan pelaksanaan yang jelas yang turut disokong oleh sebuah sistem perancangan kewangan.

Masalah Peladangan

Selain itu, SAM juga amat bimbang bahawa ‘kestabilan’ yang kelihatan di dalam statistik keluasan litupan hutan negara ini sebenarnya turut memasukkan keluasan ladang-ladang monokultur besar, sebuah isu yang hangat diperkatakan oleh banyak pihak. Hakikatnya, ladang-ladang monokultur besar ini telah dimajukan di dalam HSK dan juga hutan tanah kerajaan yang tidak diwartakan. Oleh itu, integriti statistik perhutanan kita berkaitan keluasan litupan hutan sememangnya boleh dipersoalkan.

Berdasarkan laporan tahunan dan laman sesawang jabatan perhutanan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, kami menganggarkan bahawa setakat tahun 2013, kawasan hutan seluas 324,417 hektar di Semenanjung, 271,110 hektar di Sabah dan 2,827,372 hektar di Sarawak telah diperuntukkan bagi pembangunan ladang monokultur. Jika bahagian Sarawak dihadkan sahaja ke kawasan yang telah dibangunkan, iaitu 471,892 hektar, keluasan mereka bagi seluruh negara masih lagi mencapai 1.1 juta hektar, atau 5.9 peratus daripada kawasan hutan kita – hanya sedikit kecil dari Terengganu.

Perlu dinyatakan bahawa penggalakan pembangunan ladang-ladang monokultur ini akan tentunya mendorong terhadap kehilangan hutan, samada ia mengambil tempat di dalam HSK atau hutan tanah kerajaan. Ladang monokultur tidak patut dibenarkan untuk menggantikan kawasan hutan semula jadi, samada hutan tersebut telah dikenalpasti sebagai hutan miskin atau tidak. Keluasan ladang-ladang ini juga mestilah dikeluarkan dari statistik litupan hutan negara kita

SM. Mohamed Idris

Presiden      

Join Donate