SAM Sokong Langkah Kerajaan Persekutuan Saman Kerajaan Kelantan

Sebahagian Orang Asli membuat halangan masuk              Gambar : SAM
Kenyataan Akhbar                                   22 Januari 2019

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan saman sivil yang pertama kali dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Kelantan. SAM memuji kesungguhan dan keikhlasan kerajaan dalam mengiktiraf, menghormati dan menegakkan hak Orang Asli di negara ini seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sejak sekian lama komuniti penduduk asal, komuniti di negara ini yang paling terpinggir telah berjuang untuk menyuarakan hak mereka agar didengari dan diiktiraf melalui pelbagai cara. Dengan saman ini, kami berharap Kerajaan akan mula melihat terhadap pembaharuan semua undang-undang dan dasar sewaktu rejim lama yang kurang menghormati dan mengiktiraf hak adat penduduk asal.

Ini juga adalah masa yang terbaik bagi Kerajaan untuk menunjukkan beberapa semangat dalam pelaksanaan Laporan Siasatan Kebangsaan mengenai Hak Tanah Penduduk Asal yang disediakan oleh SUHAKAM pada 2013. SAM menggesa agar Kerajaan Pakatan Harapan segera melaksanakan janji dalam Manifesto mereka terutama sekali Janji 26 – Menjadikan Rekod Hak Asasi Manusia Dihormati oleh Dunia dan 38 – Memajukan Kepentingan Orang Asal di Semenanjung Malaysia; di mana Manifesto menyatakan bahawa laporan SUHAKAM, “akan dibawa ke Parlimen untuk perbahasan dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.”

Akhir sekali, kehakiman Malaysia dalam kes yang lepas melibatkan penduduk asal jelas mengiktiraf hak adat penduduk asal dan menyatakan bahawa Kerajaan mempunyai tugas fidusiari kepada penduduk asal berdasarkan amanah antara pemegang amanah (kerajaan) dan penerima manfaat (penduduk asal). Ini termasuklah tugas untuk melindungi hak tanah adat dan kebajikan penduduk asal dan untuk tidak bertindak dalam cara yang tidak konsisten dengan hak itu dan yang mungkin akan menjejaskan kesejahteraan mereka. Kini Kerajaan Pakatan Harapan telah berkuasa, mereka mesti memastikan amanah ini tidak dikhianati atau dilanggar.

Join Donate