SAM Sokong Pembatalan Projek Ladang Ternakan Kerang di Jasin, Melaka

Kenyataan Media                                       2  Januari 2020 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyokong bantahan nelayan pantai di Mukim Sebatu dan Merlimau, Jasin, Melaka supaya kelulusan pelaksanaan projek ladang ternakan kerang secara komersial oleh Kerajaan Negeri Melaka di kawasan itu ditarik balik dan dibatalkan. Lebih-lebih lagi Jabatan Perikanan juga tidak menyokong permohonan syarikat berkenaan, lanjutan daripada mengambil kira bantahan nelayan ketika itu dan juga kerana ia akan menimbulkan konflik antara nelayan dengan syarikat tersebut.

SAM mendapat tahu bahawa Kerajaan Negeri Melaka telah memberi persetujuan terhadap permohonan menternak kerang oleh sebuah syarikat swasta dan surat kelulusan  pemilikan tanah  secara lesen pendudukan sementara (TOL) kepada Syarikat Swiss Tech Sdn Bhd telah dikeluarkan pada 9 Disember 2016 untuk kawasan seluas 100 ekar.

SAM dimaklumkan bahawa tinjauan Jabatan Perikanan mendapati terdapat benih kerang (lebih daripada 4mm) dan kerang dewasa yang hidup secara semula jadi di kawasan perairan Sebatu dan Jabatan tersebut sedang dalam proses membuat penilaian kepadatan benih kerang bagi menguruskan kawasan sumber kerang semula jadi ini mengikut Akta Perikanan 1985.

Berhubung perkara ini SAM telah menghantar surat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perikanan dan kerajaan Melaka untuk meminta isu tersebut diberi perhatian serius dan diselesaikan segera. SAM bimbang jika projek itu diteruskan bukan saja kehidupan nelayan terbabit akan terjejas sumber pendapatan mereka malah kawasan pembiakan semula jadi kerang, ikan serta udang akan terancam dan secara tidak langsung menggugat bekalan makanan bagi keperluan penduduk tempatan.

Pada 16 November 2019 lalu akhbar tempatan  (Sinar Harian) melaporkan nelayan-nelayan pantai Kuala Sebatu telah mengadakan protes dan menghantar surat bantahan ke pejabat Ketua Menteri Melaka menggesa aktiviti projek yang diluluskan awal November 2019 dihentikan. Menurut Timbalan Pengerusi Nelayan Sebatu, Zakariah Abu Bakar, 50, kawasan yang terlibat dengan projek ini merupakan satu-satunya lokasi pengeluaran benih kerang semula jadi dan kerang dewasa terbanyak di Melaka.

Beliau memberitahu kawasan terbabit merupakan zon tangkapan nelayan pantai yang banyak terdapat ikan dan udang. Jika projek itu diteruskan bukan saja tempat mereka mencari rezeki menjadi sempit malah mata pencarian lebih 100 nelayan di sini akan mengalami kemerosotan yang lebih teruk.

SAM berharap Kerajaan Negeri Melaka mengambil kira ulasan Pejabat Perikanan Negeri Melaka dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk menarik balik dan tidak menyambung pembaharuan kelulusan TOL yang telah diberikan kepada syarikat tersebut. Kerajaan Negeri perlu mengambil tindakan segera membatalkan projek ini bagi menyelamatkan kehidupan masyarakat nelayan di kawasan berkenaan.

Sebagai golongan yang selama ini banyak membantu ekonomi negara dan membekalkan makanan laut, masyarakat nelayan harus mendapat pembelaan sewajarnya dan kerajaan tidak mesti memihak kepada projek yang mengeksploit dan merosakkan sumber alam semulajadi.

 

MEENAKSHI RAMAN

Presiden

Join Donate