Segera tangani masalah tumpahan minyak akibat kapal karam di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang

Kenyataan Akhbar                                  27 Julai 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa  agensi kerajaan serta pihak berkuasa di Negeri Pulau Pinang supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tumpahan minyak yang berlaku di perairan laut Pulau Pinang ekoran dari kejadian kapal kargo luar negara yang membawa muatan ikan karam akibat berlanggar dengan bangkai kapal karam di Permatang Damar Laut, Pulau Pinang.

Mengulas kejadian yang berlaku pada pagi 26hb Julai 2018 dan laporan dari beberapa akhbar tempatan menyatakan punca pelanggaran tersebut berlaku adalah disebabkan oleh kerosakan lampu kelip “boya” yang tidak berkelip sewaktu kejadian.  “Boya” tersebut merupakan penanda kepada bangkai kapal karam yang dikenali sebagai “tukun kapal simen” di kawasan berkenaan.

Tindakan pantas bagi menangani masalah tumpahan ini perlu kerana ia bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kelestarian ekosistem laut malah turut menjejaskan ekonomi. Pencemaran itu sekiranya dibiarkan akan merosakkan kawasan pelancongan, mengancam hidupan laut dan menjejaskan pendapatan nelayan Pulau Pinang dan utara Perak yang bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan ikan.

Selain itu bahaya yang akan dihadapi oleh hidupan marin termasuklah kesan toksik disebabkan oleh pendedahan atau sentuhan malah ia boleh memberi kesan seperti kerosakan sistem pembiakan mereka. Ini akan menyebabkan populasi hidupan laut akan berkurangan. Di samping itu kesan dari tumpahan tersebut juga akan menyebabkan minyak yang membentuk lapisan di permukaan air laut akan menghalang, cahaya dan gas oksigen untuk memasuki laut

Justeru, agensi-agensi kerajaan seperti pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS), Jabatan Laut Negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perikanan Negeri dan lain-lain agensi yang berkenaan di Pulau Pinang dan Perak perlu mengumumkan hasil siasatan mengenai kejadian yang menyebabkan berlakunya tumpahan minyak di perairan Pulau Pinang kepada orang ramai bagi meredakan kebimbangan mereka terutama nelayan tempatan yang mencari rezeki di sekitar kawasan kejadian.

SAM juga berharap langkah-langkah kontijensi untuk mengawal tumpahan minyak segera dilaksanakan agar pencemaran tidak merebak dan keadaan bertambah buruk agar ekosistem hidupan marin tidak musnah manakala mata pencarian nelayan tempatan terjamin.

 

S M Mohamed Idris

Presiden

Join Donate