Selamatkan Ulu Muda Untuk Kelangsungan Hidup Kita

Surat Kepada Pengarang                         14 Mac 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan Kerajaan Negeri Kedah yang telah memberikan lesen pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM), yang mengancam fungsi sokongan hayatnya.

Meliputi kawasan berjumlah lebih daripada 163,000 hektar (ha), Hutan Ulu Muda yang meliputi HSUM dan hutan simpan lain di sekitarnya, merupakan kawasan warisan semula jadi terbesar di wilayah utara. Kompleks hutan ini dua kali ganda saiz Singapura atau 1.5 kali saiz Negeri Pulau Pinang

HSUM menjadi tempat tinggal kepada banyak spesies nadir dan endemik, melindungi beribu spesies termasuk mamalia besar seperti gajah Asia, harimau bintang, serow, tapir, beruang matahari dan 10 jenis burung enggang.

Berdasarkan kepada saiz dan keadaan semula jadinya, HSUM menjadi penyerap karbon besar yang memerangkap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen setiap hari. Dalam konteks ini, HSUM membantu menghalang kesan perubahan iklim dan pemanasan global.

Paling penting, HSUM merupakan kawasan tadahan air terbesar di wilayah utara. Air hujan ditadah dalam alam sekitar semula jadi hutan Ulu Muda yang mengisi tiga empangan utama di Kedah – Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu. Air mentah dari Ulu Muda juga mengalir melalui Sungai Muda ke Pulau Pinang.

Air mentah yang berasal dari HSUM dirawat setiap hari untuk memenuhi 70% keperluan air harian Perlis, 96% keperluan air harian Kedah dan lebih daripada 80% keperluan air harian Pulau Pinang.

Ringkasnya, HSUM mengumpulkan air mentah untuk memenuhi keperluan bekalan air bagi penduduk yang dianggarkan berjumlah 4.09 juta orang di tiga negeri. Penduduk memerlukan air setiap hari, dan dengan pertambahan penduduk, lebih banyak air mentah diperlukan dari HSUM di masa depan.

Memandangkan air merupakan elemen penting untuk semua sektor, daripada pertanian kepada perniagaan, ekonomi Perlis, Kedah dan Pulau Pinang amat bergantung kepada HSUM.

Air mentah yang berasal dari Ulu Muda penting untuk tanaman dua kali setahun di kawasan jelapang padi di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Kawasan tanaman padi di dalam bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) adalah yang terbesar di negara ini meliputi kawasan seluas 100,685 hektar. Oleh itu, jelapang padi MADA merupakan penyumbang utama kepada bekalan beras tempatan Malaysia.

Terdapat banyak alasan penting untuk memulihara dan melindungi hutan simpan di Ulu Muda sebagai sumber negara yang amat berharga. Sebaliknya, Kedah terus mengeluarkan lesen pembalakan di HSUM untuk keuntungan jangka pendek daripada “premium hutan.”

Kesan negatif daripada pembalakan di HSUM termasuklah:

  • Penebangan hutan dan pemusnahan spesies endemik tumbuhan dan haiwan;
  • Peningkatan aktiviti pemburuan di hutam simpan dengan akses yang lebih mudah untuk masuk jauh ke dalam kawasan hutan melalui trek/jalan pembalakan;
  • Kemusnahan “penyerap karbon” terbesar di wilayah utara Semenanjung Malaysia;
  • Meningkatkan risiko krisis air bagi 4.09 juta orang di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terutama sekali pada musim kemarau;
  • Membahayakan semua aktiviti ekonomi di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang;
  • Menjejaskan peranan Kedah sebagai “Jelapang Padi Malaysia” yang menghasilkan satu pertiga beras negara; dan
  • Meningkatkan risiko aliran lumpur dan pemendapan sungai yang mengalir melalui hutan simpan yang kesannya akan membawa kepada banjir di kawasan hilir sungai Ulu Muda.

Dalam masa 12 bulan lepas, Sahabat Ulu Muda, pertubuhan-pertubuhan alam sekitar, badan pemikir, ahli akademik, dan institusi secara terbuka menggesa pengharaman pembalakan di kawasan HSUM. Di pihak media massa, Kosmo! dan The Star telah menerbitkan pendedahan mendalam berkaitan pembalakan di HSUM dari 2016 hingga 2018 dan laporan berita mengenai pembalakan di HSUM telah diterbitkan dalam semua akhbar utama di negara ini serta dalam pelbagai portal berita dalam talian.

Carian asas “Google” mendedahkan laporan video, foto dan imej satelit mendedahkan dan mendokumentasikan bagaimana pembalakan memusnahkan kawasan di HSUM.

Walaupun pendedahan dan bantahan dibuat, Kerajaan Negeri Kedah terus menegaskan bahawa pembalakan di HSUM adalah “isu Kedah”. Pada Januari 2018, Jabatan Perhutanan Kedah dikatakan menyerahkan laporan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mendakwa bahawa “pembalakan tidak mempunyai kesan alam sekitar” di HSUM.

Berhubung perkara ini, kami menggesa pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendedahkan kepada orang ramai data saintifik daripada laporan Kedah untuk diteliti dan disemak oleh pihak berkepentingan lain. Penting untuk dinyatakan bahawa gesaan ini juga telah dibuat oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dalam siaran akhbar bertarikh 7 Februari 2018.

SAM & CAP Gesa Pembalakan Sifar di Ulu Muda

Dari sudut pandangan SAM dan CAP, “pembalakan sifar” perlu di Ulu Muda. Tidak sepatutnya terdapat “pembalakan berlesen” di HSUM, ataupun “pembalakan haram (tidak berlesen)” dan aktiviti ekstraktif seperti perlombongan atau kuari.

Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan sumber kewangan kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk melindungi dan membaikpulih HSUM.  Dana antarabangsa wujud dan boleh diminta oleh kerajaan contohnya dari Green Climate Fund dan Global Environment Facility untuk memastikan Malaysia dapat mencapai komitmen yang dibuat di peringkat antarabangsa untuk melindungi kepelbagaian hayat dan menangani perubahan iklim.

Kerajaan Persekutuan juga mestilah memastikan Kerajaan Negeri Kedah mengklasifikasikan Hutan Simpanan Kekal di kawasan Ulu Muda sebagai kawasan hutan tadahan air untuk kebaikan kita semua.

SELAMATKAN ULU MUDA!

 

 

SM. Mohamed Idris

Presiden 


Showing 1 reaction

Join Donate