Selangor Perlu Tingkatkan Komitmen dan Iltizam Lindungi Kawasan Berhutan

Contoh kawasan HS Rantau Panjang yang terbiar menjadi hutan miskin terosot  Gambar : SAM

Kenyataan Akbar                                   11 Mac 2019

Walaupun tampuk pentadbiran negara telah berubah dan lebih dikenali sebagai ‘Malaysia Baharu’ tetapi tadbir urus terhadap sumber hutan khususnya Hutan Simpanan Kekal (HSK) masih mengecewa dan membimbangkan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengharapkan apabila perubahan yang menyeluruh pada sistem, corak dan dasar pentadbiran ‘Malaysia Baharu’, tadbir urus sumber hutan khususnya HSK turut berubah tetapi jangkaan tersebut adalah meleset.

Paling membimbangkan SAM terhadap tadbir urus kawasan berhutan di negeri Selangor ialah:-

  • pemansuhan sebahagian kawasan HSK; 
  • kawasan HSK yang didapati terbiar menjadi hutan miskin / hutan terosot; dan
  • pemusnahan kawasan habitat kelip-kelip yang berstatus Tanah Kerajaan.

Pemansuhan sebahagian kawasan HSK

SAM membantah cadangan Pihak Berkuasa Negeri yang telah / dan akan memansuhkan beberapa kawasan HSK di negeri Selangor terutama sejak pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008..

Beberapa kawasan HSK yang telah dimansuhkan iaitu:-

 

SAM mempersoal justifikasi dan keperluan Pihak Berkuasa Negeri memansuh sebilangan kawasan HSK tersebut dan juga adakah Pihak Berkuasa Negeri telah mengganti semua kawasan yang dimansuh berdasar peruntukan undang-undang sedia-ada 

Salah-satu kawasan HSK tersebut ialah sebahagian Hutan Simpan Sungai Buloh (HS Sungai Buloh), Daerah Petaling seluas 1.2418 hektar.

HS Sungai Buloh mempunyai signifikan kerana merupakan HSK tertua di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 14 Januari 1898, dari semasa ke semasa sebahagian besar keluasan HS Sungai Buloh (keluasan asal: 6,590 hektar) telah dimansuhkan dan dikorban atas nama pembangunan.

Kini HS Sungai Buloh semakin mengecil dan membimbangkan iaitu hanya berkeluasan kira-kira 25 hektar sahaja.

Oleh itu adalah wajar HS Sungai Buloh dikekalkan keluasannya sebagai kawasan perlindungan warisan.

Pengekalan keluasan sedia-ada HS Sungai Buloh dan lain-lain HSK di Lembah Kelang adalah amat penting kerana ianya berperanan untuk mengimbangi antara pembangunan fizikal dengan kawasan semula-jadi.

Oleh kerana pembangunan fizikal terutama perubahan guna-tanah kepada perbandaran begitu pesat di Lembah Kelang sedangkan zon hijau semakin berkurangan menyebabkan kadar pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat dan boleh memberi impak kepada kualiti kehidupan penduduk persekitaran.

Beberapa kejadian kemalangan jalanraya dan gangguan kepada manusia yang melibatkan haiwan-haiwan liar sebelum ini menunjukkan bahawa kawasan HSK di Lembah Kelang terutama di luar  kompleks hutan 'Central Forest Spine' Banjaran Titiwangsa yang telah menjadi 'pulau hutan' masih merupakan habitat terutama kepada haiwan-haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor adalah bercanggah dan tidak selari dengan salah-satu strategi utama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor iaitu mengekalkan HSK sedia-ada dan meningkatkan keluasannya.

Cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor juga adalah bercanggah dengan matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu hendak mencapai 5 juta hektar keluasan HSK daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia.

Disamping itu, cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor tidak selari dengan saranan Kerajaan  Persekutuan semasa pembentangan belanjawan 2019 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia-ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu.

Malah Kerajaan Negeri begitu bersungguh-sungguh dan beriltizam untuk terus menjaga khazanah alam serta warisan hijau supaya ia sentiasa terpelihara apabila bekas Menteri Besar, Dato' Seri Azmin Ali menyatakan Selangor tidak boleh berasa selesa dengan jumlah semasa HSK meskipun melebihi 30 peratus daripada keluasan tanah negeri dan ia perlu diperluaskan.

 

Kawasan HSK yang didapati terbiar menjadi hutan miskin / hutan terosot

Manakala kawasan HSK yang didapati telah lama terbiar menjadi hutan miskin / hutan terosot ialah HS Rantau Panjang dan HS Bukit Tarek. 

Sebahagian besar kawasan di kedua-dua hutan simpan tersebut tidak diurus dengan prinsip-prinsip pengurusan hutan yang sempurna.

Pemusnahan kawasan habitat kelip-kelip yang berstatus Tanah Kerajaan

SAM juga bimbang terhadap pemusnahan kawasan habitat kelip-kelip yang berstatus Tanah Kerajaan di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Pemusnahan kawasan habitat kelip-kelip untuk tujuan pertanian dan kegiatan pengambilan pasir di sepanjang Sungai Selangor telah menjejaskan populasi kelip-kelip dan memberi kesan kepada sektor pelancongan.      

Oleh itu SAM berharap Pihak Berkuasa Negeri Selangor:-

  • mempertimbang supaya tidak meluluskan lagi pemansuhan sebahagian kawasan HSK di Selangor khususnya di Lembah Kelang;
  • melaksana pengurusan hutan dengan prinsip-prinsip pengurusan hutan yang sempurna di beberapa kawasan HSK di Selangor yang telah menjadi hutan miskin / terosot; dan
  • mewarta habitat kelip-kelip di sebahagian rizab sungai / zon riparian Sungai Selangor sebagai kawasan perlindungan terutama berstatus HSK supaya memastikan ia mempunyai ‘security of tenure’ (jaminan jangka hayat).

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden

Join Donate