Siasat Segera Operasi Lynas Corporation

Kenyataan Akhbar                                 21 September 2018

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) menyegerakan siasatan terhadap operasi Lynas Corporation Sdn. Bhd. yang terletak di Gebeng, Pahang dan mengambil semua langkah untuk menutup kilang itu dan memindahkan semua sisa termasuk produk yang diperbuat daripada sisa yang berbahaya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

SAM amat bimbang dengan kenyataan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Beserah, YB Haji Andansura Rabu, yang dilaporkan oleh media pada 21 September 2018 mendakwa bahawa kilang itu “selamat” dan perlu dibenarkan beroperasi dengan bebas.

SAM amat terkejut dengan ulasan ADUN itu termasuk menyokong cadangan syarikat untuk “mengitar semula sisa untuk meningkatkan kesuburan tanah bagi kegunaan pertanian”.

Kenyataan dan cadangan itu jelas mendedahkan bahawa ia tidak mempedulikan sama sekali mengenai bahaya sisa radioaktif yang membawa kesan buruk kepada keselamatan dan kesihatan awam, serta alam sekitar untuk generasi yang akan datang.

Salah satu contoh keracunan sisa radioaktif adalah seperti yang dialami oleh komuniti Bukit Merah di Ipoh, Perak akibat daripada aktiviti kilang Asian Rare Earth (ARE) pada awal 1990-an.

Adalah ternyata bahawa sisa radioaktif akan kekal berbillion tahun. Berdasarkan fakta inilah,  Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed menolak kuasa nuklear di negara ini. (Lihat laporan berita 19 September 2018). Beliau merujuk kes Bukit Merah dan bagaimana Malaysia kehilangan 1 kilometer persegi tanah di Perak untuk menanam sisa “di bawah simen yang tebal untuk mencegah radiasi daripada menjejaskan orang ramai” dan kawasan ini masih tidak selamat.

SAM menyokong sepenuhnya keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak menggunakan tenaga nuklear memandangkan tiada cara yang selamat untuk melupuskan dan menguruskan sisa radioaktif itu.

Kita mestilah mempelajari daripada pengalaman Bukit Merah, sepertimana yang dilaksanakan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamed, dan mengambil pengajarannya untuk kes Lynas. Komuniti Bukit Merah mengalami penderitaan di mana ibu-ibu mengalami keguguran bayi, kanak-kanak menghidapi leukemia, keracunan darah dan kematian awal. Kesan ini menjadi satu peringatan agar kesilapan masa lalu tidak diulangi.

Perkara yang paling membimbangkan adalah bahawa kilang Lynas dan Lembaga Tenaga Atom Malaysia (AELB) tidak mendedahkan pelan lengkap untuk kemudahan pelupusan sisa kekal termasuk lokasinya kepada umum.

Mengitar semula sisa radioaktif sebagai “penambahan kesuburan tanah” adalah saranan yang tidak bermunasabah dan tidak bertanggungjawab yang akan menyumbang kepada pencemaran radiaoktif  dengan lebih meluas. Cadangan yang sama dibuat oleh kilang ARE di Bukit Merah, yang ditolak oleh komuniti tempatan dan orang ramai yang tidak mahu ditipu oleh dakwaan bahawa penggunaannya adalah selamat.

SAM juga menyokong kenyataan oleh YB Wong Tack, Ahli Perlimen Bentong baru-baru ini (20 September 2018) berhubung bahaya yang didedahkan oleh operasi Lynas.

Kami bersetuju sepenuhnya bahawa Malaysia seharusnya tidak menjadi tempat pembuangan sisa radioaktif atau aktiviti berbahaya oleh syarikat nadir bumi asing yang tidak dibenarkan untuk menjalankan usaha berisiko seperti itu di negara mereka sendiri, baik Australia atau Jepun.

Kami berharap Jawatankuasa Eksekutif yang ditubuhkan untuk menyiasat Lynas di bawah MESTECC akan bersidang dengan segera untuk menghentikan aktiviti berbahaya Lynas, yang terus mengumpulkan sisa berbahaya di dalam premis dan mendedahkan bahaya kepada persekitarannya.

Tindakan segera mestilah diambil sebelum terlambat.

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

 

Join Donate