Sokongan terhadap gesaan Majlis Peguam Malaysia agar kerajaan melindungi tanah hak adat Orang Asli

Kenyataan Akhbar                                    Februari 28, 2018

SAM ingin menyatakan sokongan kami terhadap kenyataan Majlis Peguam Malaysia bertarikh Februari 26, agar kerajaan persekutuan dan negeri mengambil kesemua tindakan yang perlu untuk melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Kenyataan ini menunjukkan betapa perlunya para pembuat dasar kita untuk melihat undang-undang secara menyeluruh. Undang-undang itu bukan hanya meliputi undang-undang tergubal, ia juga termasuk common law, adat atau kelaziman yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dan keputusan mahkamah. Malah, tugas fidusiari kerajaan untuk melindungi hak tanah adat juga merupakan undang-undang yang telahtermaktub. Oleh itu, kepatuhan terhadap undang-undang tergubal tidak melepaskan kerajaan dari tanggungjawabnyauntuk menyelidiki dengan secukupnya, tentang kemungkinan wujudnya sebarangpertindihanperundangan dengan hak common lawkomuniti Orang Asli.

Laporan tentang hujah menteri besar Perak bahawa aktiviti pembalakan di Kampung Tasik Cunex telah mematuhi kesemua undang-undang yang berkenaan, adalah hujah yang telah banyak kali didengari oleh pertubuhan sivil seperti kami, di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa. Kita juga telah mendengar bagaimana anggota eksekutif kanan di Semenanjung Malaysia dengan jahilnya telah berulang-ulang kali menyatakan bahawa hak tanah adat tidak wujud di negeri mereka. Malangnya, ini hanya menunjukkan kefahaman mereka yang cetek tentang undang-undang.

Kelihatannya juga, penggunaan istilah seperti kawasan rayau, kata yang menyakiti masyarakat Orang Asli, masih lagi diamalkan di Malaysia baru. Beban istilah orang luar ini memberikan gambaran yang salah seolah-olahnya,Orang Aslisekadar ‘merayau’ di kawasan berhutan, tanpa kesedaran tentang hak, perancangan dan strategi. Kenyataannya, konsep kewilayahan begitu penting sekali di dalam pengamalan hak tanah adat. Persempadanan wilayah adat orang asal dipatuhi dengan ketat oleh semua komuniti yang berjiran dan strategi aktiviti pemburuan, pengumpulan hasil hutan dan pertanian dirancang untuk memastikan kelestarian.

Pada tahun 2016, kami telah menerbitkan laporan Pencerobohan Hak Tanah Adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, yang mengandungi 12 kajian kes tentang komuniti Orang Asli yang terjejas oleh pembalakan dan perladangan, yang boleh dicapai di laman sesawang kami. Penerbitan ini membincangkan tentang ketidakmampuan undang-undang tergubal untuk melindungi sepenuhnya hak tanah adat Orang Asli. Ianya menjelaskan bahawa aktiviti pembalakan, perladangan dan lain-lain kegiatan pengambilan sumber yang berlesen, yang dilakukan berdasarkan undang-undang tergubal, tidak boleh dengan begitu sahaja dianggap telah mencapai kesempurnaan dari segi perundangan. Pembalakan yang ‘sah’ itu boleh sahaja masih lagi menceroboh hutan yang dimiliki secara adat oleh komuniti Orang Asli, yang hak mereka telah diperolehi secara sah melalui adat resam kaum mereka, dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan diiktiraf oleh lembaga kehakiman. Pembalakan yang ‘sah’ boleh sahaja menjadi pembalakan yang memudaratkan, merosakkan hutan dan sumber-sumber asli yang dimiliki secara sah oleh Orang Asli.

Sudah tiba masanya bagi pegawai tertinggi eksekutif kita, samada yang dilantik atau dipilih rakyat, untuk melengkapkan pengetahuan mereka tentang maklumat perundangan yang tepat berkenaan dengan hak tanah adat orang asal. Mereka juga wajib menghentikan penggunaan fiksyen perundangan dan istilah yang dianggap kasar oleh budaya masyarakat orang asal,dari Malaysia yang lalu. Mereka mesti mengambil pendekatan dan tindakan yang betul dari segi undang-undang.

Oleh itu, kami menyokong segala gesaan yang dibuat oleh Majlis Peguam Malaysia. Kerajaan negeri Perak dan JAKOA mestilah mengambil tindakan dengan halatuju yang betul, untuk melindungi hak tanah adat Kampung Orang Asli Tasik Cunex di Gerik, Perak. Kerajaan persekutuan dan negeri juga mestilah berusaha untuk mengambil tindakandasar yang serupa. Ini termasuklah melaksanakan 18 buah syor Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli yang diterbitkan SUHAKAM pada tahun 2013 dan menunaikan kandungan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Hak Orang Asal (UNDRIP).

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate