Tapak Pelupusan Sisa Lynas – Ketelusan dan Perbincangan Awam Diperlukan Sebelum Sebarang Kelulusan Diberikan

Kenyataan Akhbar                                     3 Februari 2020

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan agar memastikan terdapat ketelusan sepenuhnya, perbincangan dan maklum balas daripada orang awam sebelum meluluskan sebarang fasiliti pelupusan kekal (PDF) Lynas Corporation bagi sisa penulenan lumpur air (WLP) yang mengandungi sisa radioaktif.

SAM begitu bimbang dengan pengumuman Lynas baru-baru ini bahawa kerajaan negeri Pahang telah memberi kebenaran kepada syarikat terbabit untuk membina tapak PDF di Bukit Ketam.

Bagaimanapun, menurut laporan media hari ini (New Straits Times, 3 Feb 2020), Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) yang akan membuat keputusan  mengenainya dan setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat.

SAM ingin menegaskan bahawa menurut undang-undang, pembinaan PDF perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan LPTA, dan dikehendaki menyerahkan Penilaian Kesan Alam Sekitar yang Terperinci (DEIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 serta Penilaian Kesan Radiologi (RIA) di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984.

Justeru, bukan pihak LPTA sahaja yang boleh memberi kelulusan tetapi JAS juga perlu meluluskannya, memandangkan perlu disertakan penilaian alam sekitar serta penilaian kesan radiologi bagi fasiliti terbabit.

Laporan DEIA dan RIA perlu seiringan dan dilakukan secara teliti, dengan disertai penglibatan, perbincangan dan maklum balas orang awam sepenuhnya sebelum kelulusan diberikan sama ada oleh JAS atau LPTA.

Ketelusan sepenuhnya dalam proses itu perlu ada terutama memandangkan operasi Lynas menimbulkan kontroversi, dan menerima bantahan daripada orang ramai.

Agensi-agensi kerajaan berkenaan tidak perlu berada di bawah tekanan untuk meluluskan PDF dengan tergesa-gesa. Sebaliknya ia perlu memastikan segala aspek kesihatan dan keselamatan awam selain pertimbangan dari sudut kepentingan alam sekitar dinilai dengan teliti, tanpa sebarang kompromi, terutama apabila sisa WLP kekal sebagai bahan radioaktif dan berbahaya kepada generasi masa depan.

Pada ketika ini, operasi Lynas sudah pun membabitkan ratusan ribu tan sisa radioaktif, yang sudah terkumpul selama bertahun-tahun dan akan terus terkumpul sehingga pihak berkenaan mengemukakan pelan untuk membina fasiliti ‘cracking’ and ‘leaching’ (CLF) di Australia, jauh dari lojinya di Gebeng, Kuantan. Fasiliti di luar negara itu akan beroperasi hanya dalam tempoh empat tahun dari tarikh pelesenan berkuatkuasa.

Kerajaan persekutuan telah memberikan tempoh selama empat tahun kepada Lynas untuk membolehkan CLF di luar negara menjalankan operasi. Ini bermakna syarikat itu akan dibenarkan menjana sisa radioaktif selama empat tahun sehinggalah operasi itu berpindah ke Australia.

Hakikatnya, ini bermakna sekurang-kurangnya hampir 1 juta tan sisa radioaktif telah diurus selama berdekad jika bukan seabad akan datang, memandangkan thorium dan uranium di dalam sisa tersebut mempunyai jangka hayat yang sangat panjang sehingga berbilion tahun.

Dengan begitu banyak sisa serta kesan yang terlalu lama, sudah pasti kos bagi pengendalian fasiliti pelupusan seumpamanya amat  besar.

Menurut laporan media, Lynas dikatakan telah melantik sebuah syarikat tempatan, Gading Senggara Sdn. Bhd., untuk menguruskan PDF yang menelan kos AS$98 juta (RM400 juta)

Tidak dapat dipastikan sama ada ini turut termasuk kos pengambilan tanah, penyediaan dan pembinaan PDF ataupun sama ada ini untuk kerja penyelenggaraan tapak tersebut untuk beberapa dekad mendatang.

Jumlahnya kelihatan agak kurang mencukupi bagi penyelenggaraan PDF yang sepatutnya menguruskan sekurang-kurangnya 1 juta ton sisa radioaktif di masa depan.

Sebagai bandingan, dalam kes sisa Asian Rare Earth, laporan berita mendedahkan bahawa syarikat Mitsubishi Chemicals dari Jepun membelanjakan AS$100 juta hanya bagi kerja-kerja pembersihan tapak loji ARE.

Satu lagi isu yang menimbulkan kebimbangan serius ialah berhubung kepakaran syarikat tempatan yang dinamakan oleh Lynas untuk menjalankan kerja-kerja menguruskan bahan sisa radioaktif. Kebolehan dan kepakaran syarikat ini perlu telus kerana apa yang dikendalikannya itu bukanlah sisa biasa tetapi sisa yang akan kekal berbahaya selama beberapa generasi.

Sehubungan itu SAM sekali lagi mengulangi gesaan agar Lynas tidak diberikan tempoh lanjutan untuk menjalankan operasinya sebelum jalan penyelesaian yang sempurna bagi pengendalian sisa kekal dapat dicari.

 

Meenakshi Raman

Presiden

Join Donate