Tidak Waras Untuk Menggunakan Insinerator dan Tapak Pelupusan Sisa

Kenyataan Akbar                                      25 September 2018

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat kecewa dengan sasaran Kerajaan Malaysia bagi setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu insinerator atau loji 'waste to energy' (WTE - sisa-ke-tenaga) dalam tempoh dua tahun, seperti yang dilaporkan dalam berita Bernama. 

Insinerator adalah cara yang tidak mampan untuk menangani sumber dan cara paling mahal untuk menguruskan sisa dan menghasilkan elektrik. Insinerator sisa atau loji 'waste to energy' adalah pendekatan 'end-of-pipe' untuk pengurusan sumber dan sisa yang tidak menyelesaikan masalah di punca.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata insinerator akan digunakan bagi menjadikan proses pelupusan sisa pepejal lebih bersih selain menjimatkan penggunaan tanah daripada terus dibuka sebagai tapak pelupusan sampah baharu. Perlu diperingatkan bahawa loji ‘waste-to-energy’ tidak secara ajaib menghilangkan sisa.

Proses insinerasi atau pembakaran semata-mata mengubah sisa ke dalam bentuk sisa lain, seperti abu yang toksik dan pencemaran udara dan air, yang lebih sukar untuk dibendung dan biasanya lebih toksik daripada bentuk sisa asal. Jumlah abu yang berbahaya mencecah hingga sebanyak 30% daripada jumlah sisa yang terbakar. Abu bawah (bottom ash) dari insinerator perlu ditanam manakala abu terbang (fly ash) yang dianggap sisa terjadual perlu dirawat dan dilupuskan juga.

Semua insinerator menimbulkan risiko yang besar kepada kesihatan dan persekitaran masyarakat berdekatan serta penduduk umum. Malah insinerator paling canggih pun "mengeluarkan" ribuan pencemar yang mencemarkan udara, tanah dan air. Bahan pencemar ini memasuki bekalan makanan dan mengimbuh dalam rantaian makanan. Insinerator adalah punca utama pelepasan dioksin dan furan yang menyebabkan barah. Laporan kesan kesihatan awam menyatakan bahawa insinerator moden di Kesatuan Eropah adalah sumber utama pelepasan zarah ultra-halus.[1] Pada tahun 2017, satu lagi kajian mendedahkan bahawa zarah halus menyumbang kepada lebih 4 juta kematian pramasa di seluruh dunia pada tahun 2015.[2]  Agensi pengawalseliaan di Amerika Syarikat mendapati bahawa insinerator rentan terhadap pelbagai jenis kepincangan, kegagalan sistem dan kerosakan, yang secara rutin membawa kepada masalah kawalan pencemaran udara yang serius dan peningkatan emisi yang berbahaya kepada kesihatan awam.[3]

Menteri juga menyatakan bahawa pelupusan sampah menerusi insinerator akan menghasilkan tenaga elektrik dan gas, jadi kontraktor akan meraih pendapatan melalui penjualan elektrik dan gas untuk menampung kos pembinaan loji WTE. Sebenarnya, insinerator merupakan pembazir tenaga yang besar. Oleh kerana nilai kalori sisa yang rendah, insinerator hanya dapat menjana sejumlah kecil tenaga sambil memusnahkan sejumlah besar bahan yang boleh diguna semula. Kerana tenaga yang dihasilkan oleh insinerator "sisa-ke-tenaga" adalah kurang, ia tidak akan menyumbang secara besar kepada grid elektrik.

Lebih-lebih lagi, memandangkan sampah di Malaysia kebanyakannya organik, insinerator memerlukan input tenaga tambahan terlebih dahulu untuk memproses sisa untuk menjadikannya sesuai untuk dibakar, dan kemudian membakarnya.  Dengan itu ia secara negatif menjejaskan keseimbangan tenaga loji tersebut. Kerajaan Malaysia perlu belajar dari pengalaman lepas pihak lain dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Dari perspektif yang lebih luas mengenai kemampanan, insinerator adalah teknologi yang tidak baik dan secara asasnya tidak serasi dengan ekonomi tertutup dan lingkaran. Insinerator pada dasarnya adalah penghancur produk dan bahan dibuang, serta menumpukan ketoksikan.

Lebih daripada 90% bahan yang dilupuskan dalam insinerator dan tapak pelupusan boleh digunakan semula, dikitar semula atau dikompos. Membakar bahan-bahan ini untuk menjana elektrik menghindar usaha yang diperlukan untuk memulihara sumber dan mengurangkan pembungkusan dan pembaziran, dan juga menjejaskan amalan pemuliharaan tenaga seperti kitar semula dan pengkomposan.

Di peringkat global, terdapat satu pergerakan yang kuat mengalih dari insinerator dan bergerak ke arah sifar sisa. Di Malaysia juga banyak komuniti yang mengamalkan sifar sisa dan berusaha untuk meminimumkan penjanaan sisa. Tumpuan kepada pendekatan sifar sisa untuk pengurusan sisa dan sumber, termasuk pengurangan, penggunaan semula, kitar semula dan pengkomposan, adalah pilihan yang selamat dan berkesan dari segi kos serta menghasilkan pekerjaan sambil melindungi iklim dan alam sekitar. Kerajaan Malaysia perlu melihat melampaui promosi syarikat "waste-to-energy" dan memilih pilihan yang menggalakkan, tidak melemahkan, kemampanan. Bergerak ke Arah Sifar Sisa! Jangan Bakar atau Lupuskan Sisa!

 

Mohamed Idris

Presiden

[1] Howard, C.Vyvyan, Statement of Evidence, Particulate Emissions and Health, Proposed Ringaskiddy Waste-to-Energy Facility, June 2009

[2] Health Effects Institute. 2017. State of Global Air 2017. Special Report. Boston, MA:Health Effects Institute. https://www.stateofglobalair.org/sites/default/files/SoGA2017_report.pdf.

[3] Massachusetts Department of Environment citations for violations by Covanta Haverhill Incinerator: http://www.cjcw.org/notice/Covanta_Massachusetts_environmental_violations.pdf

Join Donate