Tindakan Bersepadu Perlu Bagi Memerangi Jenayah Hidupan Liar

Surat Kepada Pengarang                       15 Mei 2019

Lebih banyak tindakan diperlukan untuk memerangi jenayah hidupan liar. Beberapa spesies semakin pupus dan mungkin lenyap jika tindakan segera tidak diambil oleh kerajaan.

Setiap minggu tajuk utama media diliputi oleh berita rampasan barangan penyeludupan bernilai tinggi iaitu gading gajah, tanduk badak, anggota badan harimau dan kulit tenggiling. Banyak haiwan hidup - harimau, orang utan, tenggiling, monyet, burung dan sebagainya - diperdagangkan dengan bebas, tanpa hukuman terhadap pesalahBenuaAsia terutama sekali China dan Asia Tenggara adalah tumpuan utama bekalan dan permintaan terhadap banyak spesies hidupan liar terancam.

Walaupun wujud undang-undang dan peraturan negara berkaitan pemuliharaan hidupan liar serta komitmen antarabangsa, perdagangan hidupan liar haram masih meluas serta berterusan di seluruh rantau ini. Hidupan liar yang dikeluarkan secara haram daripada hutan dijual dalam negara sumber atau dipindahkan antara negara dan melintasi sempadan dan dijual secara terbuka dan juga terselindung. Kebanyakan perdagangan ini berjalan tanpa dikesan dan begitu sukar untuk menyatakan sejauhmana besarnya jumlah hidupan liar yang dihantar secara haram dan dijual di pasaran antarabangsa. Peningkatan dalam rampasan tidak semestinya bermakna penguatkuasaan undang-undang dan pegawai kastam lebih berwaspada – ia sering bermaksud terdapat peningkatan dalam penyeludupan dan produk haram membanjiri pelabuhan akibat peningkatan pemburuan haram dan pengambilannya. Pada masa kini terdapat lebih banyak permintaan berbanding bekalan.

Semua negara utama di Asia Tenggara telah pun menjadi penandatangan kepada konvensyen antarabangsa mengenai jenayah transnasional dan penyeludupan spesies. Terdapat juga ahli rangkaian dan agensi penguatkuasaan antarabangsa di Asia Tenggara, Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Asean (Asean Wildlife Enforcement NetworkAsean-Wen). Alat bagi membanteras jenayah terhadap hidupan liar sudah pun wujud tetapi masih terdapat keperluan segera bagi komitmen peringkat tinggi terhadap tindakan berkesan, bagi mengatasi jenayah hidupan liar yang berisiko rendah tetapi amat menguntungkan ini.

Syarikat logistik yang menjalankan pengimportan, transit, dan eksport barangan mestilah memberikan tumpuan ke atas langkah penguatkuasaan yang lebih tegas dan sekatan yang lebih ketat untuk mencegah dan menghukum penyalahgunaan perkhidmatan mereka bagi penyeludupan hidupan liar secara haram.

Ketua kumpulan pedagang ini sering terlibat dalam pelbagai perniagaan – yang sah dan haram dan ia mestilah dipantau. Kedai haiwan peliharaan dan zoo mestilah diteliti dan siasatan lanjut mestilah dijalankan memandangkan sesetengahnya hanya menjadi pelindung bagi aktiviti haram.

Siasatan terhadap aliran kewangan haram berkaitan individu dan syarikat yang disyaki terlibat dalam penyeludupan hidupan liar, pengubahan wang haram dan jenayah lain yang berkaitan merupakan satu lagi aspek yang perlu diteliti. Rasuah dalam agensi penguatkuasaan juga satu lagi perkara yang menjadi kebimbangan utama.

Dalam memerangi penyeludupan, negara ahli Asean mestilah menguatkan lagi komitmen bagi menangani jenayah hidupan liar sebagai perniagaan transnasional terancang yang serius dan meningkatkan lagi usaha untuk memeranginya. Penting juga kerjasama yang kukuh antara sumber, transit dan negara destinasi untuk memastikan aktiviti jenayah bersama seluruh rantaian penguatkuasaan ditangani dan dikawal daripada sumber ke destinasi akhir.

 

S. M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate