Tindakan Segera Perlu Dilakukan Bagi Membersihkan Kualiti Alam Sekitar Yang Buruk Di Pasir Gudang, Johor

Siaran Akhbar                                         21 Jun 2019

 

Sahabat Alam Malaysia (SAM) begitu bimbang dengan satu lagi insiden kesihatan pelajar sekolah di Pasir Gudang, Johor yang berada dalam bahaya.

Kami merujuk kepada laporan media mengenai 15 pelajar dari Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang yang dibawa ke hospital berdekatan kerana mengalami kesukaran bernafas dan muntah pada hari Khamis.

Menurut laporan akhbar, pelajar itu mengalami simptom yang sama dengan mereka yang terjejas oleh pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim pada Mac tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata simptom itu berkemungkinan akibat pencemaran daripada wasap organik dan situasi di sekolah itu dalam keadaan “terkawal” dengan pihak berkuasa memantau situasi itu, termasuk dalam menentukan sebab dan paras pencemaran.

Penjelasan segera kenapa insiden ini berlaku amat diperlukan. Ia amat mengejutkan apabila tindakan diambil hanya apabila berlaku situasi kecemasan apabila pelajar sekolah menghadapi keadaan kesihatan yang serius.

Jelas sekali kita tidak mengambil iktibar daripada kes pencemaran Sungai Kim Kim.

SAM menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri serta pihak berkuasa di Johor meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap kualiti alam sekitar yang buruk di Johor dan mengambil tindakan segera dalam memantau kualiti air dan udara di negeri ini.

Ini amat diperlukan terutama sekali di kawasan Pasir Gudang dan tempat lain di mana sekolah dan kawasan kediaman penduduk terletak berdekatan dengan kawasan industri.

Memeriksa kilang dan industri di kawasan itu juga amat penting untuk memastikan bagaimana sisa industri dilupuskan.

Kita tidak seharusnya menunggu berlakunya kecemasan sebelum mengambil usaha membasmi pencemaran di kawasan yang terjejas.

Insiden ini juga mendedahkan bahawa langkah penguatkuasaan oleh pihak berkuasa adalah lemah memandangkan tindakan hanya diambil apabila aduan diterima. Pendekatan yang diambil biasanya ‘mengawal sendiri’ yang bermaksud pihak kilang dan perniagaan dibiarkan mengawal diri mereka sendiri.

‘Pendekatan mengawal sendiri’ perlu dihentikan dengan segera dan pihak berkuasa terutama sekali (JAS) dan majlis perbandaran dan kerajaan tempatan perlu meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan mereka terutama sekali di kawasan perindustrian yang berdekatan dengan sekolah dan kawasan kediaman penduduk.

Kami menggesa tindakan segera diambil sebelum lebih ramai pelajar di kawasan Pasir Gudang terjejas kesihatan mereka akibat pendedahan kepada wasap toksik dan sisa daripada aktiviti perindustrian.

Selain itu, mereka yang menyebabkan pencemaran dan menjejaskan kesihatan itu juga perlu diambil tindakan terhadap pencabulan undang-undang oleh mereka dengan pendakwaan yang membawa kepada hukuman penjara dan denda yang tinggi agar penjenayah alam sekitar ini dipandang serius pada masa depan. 

Puan Meenakshi Raman

Presiden

 

Join Donate