Wilayah adat Penan di Batu Bungan, Mulu, Sarawak diancam projek perladangan

Bantahan dari sebahagian kaum menan di kampung Batu Bungan, Sarawak    Gambar : SAM

Surat Kepada Pengarang                        14 Februari 2019

SAM baru-baru ini telah menerima laporan dari kaum Penan di Kampung di Batu Bungan di Mulu, Sarawak, bahawa pada bulan Januari tahun ini, pembinaan jalan untuk sebuah projek perladangan sawit telah mula menceroboh ke dalam wilayah adat mereka, yang bersebelahan dengan Taman Negara Gunung Mulu, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Sebagai tindakbalas, kampung tersebut telah membina sebuah halangan jalan (blockade) dan membuat sebuah laporan polis untuk menghentikan pencerobohan tersebut. Namun, halangan tersebut dilaporkan telah diruntuhkan oleh para pekerja operasi pembinaan jalan tersebut.

Pada bulan September tahun lalu, Menteri Industri Perladangan persekutuan telah mengumumkan bahawa kerajaan yang baru tidak akan membenarkan lagi penambahan keluasan perladangan sawit di negara ini, untuk memastikan Malaysia dapat mengekalkan liputan berhutan sebanyak 50 peratus. Pada bulan Disember, Sarawak diberitakan turut menyatakan komitmen mereka di dalam usaha ini. Walaupun kami turut menerima baik perkembangan ini, seperti yang ditunjukkan oleh kes Kampung Batu Bungan ini, masih lagi terdapat pelbagai isu yang belum lagi diselesaikan berkenaan dengan hal ini.

Menurut Jabatan Hutan Sarawak, di bawah sistem Lesen untuk Ladang Hutan (LPF) mereka, sebanyak 43 buah lesen perladangan kayu telah pun dikeluarkan, meliputi 2.8 juta hektar. Lesen-lesen ini meliputi estet hutan kekal yang terwarta dan hutan kerajaan yang tidak terwarta. Sesetengah dari lesen ini juga telah dibenarkan untuk meluangkan tidak lebih dari 20 peratus kawasan lesen mereka untuk penanaman kelapa sawit. Kawasan boleh-tanam dianggarkan seluas 1.3 juta hektar bagi ladang kayu dan 285,520 hektar bagi kelapa sawit. Setakat Disember 2013, sebanyak 325,314 hektar ladang kayu dan 146,578 hektar ladang sawit telah dibangunkan.

Halangan yang bina oleh penduduk    Gambar : SAM 

Selain itu, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak juga turut mengeluarkan permit untuk pembangunan perladangan di kawasan yang berada di luar bidangkuasa Jabatan Hutan. Ada di antara pembangunan ini dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri seperti Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA). Berdasarkan data di laman sesawang agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, kami menganggarkan bahawa keluasan kawasan yang disasarkan di sini mungkin mencecah 800,000 hektar, walaupun kami gagal menemui maklumat tentang jumlah keluasan kawasan lesen yang benar-benar telah dikeluarkan ataupun setakat mana ianya melibatkan penanaman kelapa sawit. Sementara itu, data dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pula menunjukkan bahawa pada tahun 2017, kawasan penanaman kelapa sawit di Sarawak telah menjangkau seluas 1.5 juta hektar.

Oleh itu, kita perlu jelas bahawa perladangan sawit itu sendiri bukanlah satu-satunya masalahnya di sini. Di Malaysia, pembangunan perladangan monokultur kayu dan sawit sebenarnya dibenarkan di dalam hutan pengeluaran yang terwarta. Di Sarawak, penukaran guna tanah hutan kepada ladang ini turut berlaku di dalam hutan kerajaan yang tidak terwarta. Makanya permasalahan paling asas di sini adalah kemusnahan hutan dan pencabulan hak tanah adat, seperti kes di Batu Bungan. Kelapa sawit hanyalah salah satu dari komoditi yang terpilih untuk tujuan ini.

Di Sarawak, keluasan lesen-lesen perladangan monokultur ini telah mencapai lebih dari 3 juta hektar, di mana keluasan perladangan kayu adalah lebih tinggi dari sawit. Ini adalah satu per empat keluasan tanah Sarawak, melebihi keluasan Perak. Penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa setakat 2013, kawasan berhutan terwarta seluas 324,417 hektar di Semenanjung Malaysia telah dikhususkan untuk pembangunan perladangan kayu dan 271,110 hektar di Sabah pula telah dikhususkan untuk pembangunan perladangan sawit. Secara keseluruhan di Malaysia, keluasan kawasan yang dikhususkan untuk pembangunan perladangan monokultur baru yang melibatkan penukaran guna tanah hutan mencapai sekurang-kurangnya 3.4 juta hektar, hampir seluas Pahang. Banyak dari kawasan ini turut termasuk di dalam wilayah adat orang asal.

Oleh itu, cita-cita kerajaan persekutuan yang baru ini untuk mengekalkan 50 peratus litupan kawasan berhutan itu sendiri kelihatannya bersandar pada statistik perhutanan yang tidak saintifik, yang turut menghitung perladangan monokultur, dan hutan yang berpecah-pecah di sekelilingnya, sebagai ‘litupan hutan’.

Menurut penduduk Kampung Batu Bungan, pembinaan jalan sahaja telah menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap hutan, sungai dan sumber-sumber alam di situ. Walaupun mereka telah mendengar desas-desus tentang kedatangan projek perladangan sawit ke kampung mereka pada tahun 2018, mereka tidak pernah memberikan sebarang keizinan untuk ia beroperasi di wilayah mereka. Ketiadaan perundingan yang bermakna juga menyebabkan para penduduk dibiarkan tanpa banyak maklumat. Mereka tidak menerima sebarang dokumen yang mengesahkan identiti pemaju projek dan agen-agen mereka, sempadan dan keluasan operasi projek dan maklumat terperinci yang lain. Mereka juga turut tertanya-tanya apakah sebarang keuntungan turut dikaut hasil dari pokok kayu balak yang telah ditebang untuk pembinaan jalan ini. Mereka menuntut agar pencerobohan ini dihentikan segera.

Kerajaan persekutuan yang baru ini perlu betul-betul melakukan usul periksa terhadap isu sebenar di sini. Pencerobohan wilayah adat dan ketiadaan perundingan dan keizinan seperti ini bukanlah sebuah kejadian yang asing di Sarawak, atau pun Malaysia. Ini bukanlah hanya tentang kelapa sawit. Seperti yang dinyatakan oleh Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli yang diterbitkan oleh SUHAKAM pada 2013, pencabulan hak tanah adat di Malaysia adalah sebuah permasalahan sistemik dan ketiadaan jaminan pegangan tanah ke atas hak adat mestilah ditangani.

Oleh itu, selari dengan komitmen kerajaan persekutuan dan negeri untuk menghentikan kemusnahan hutan, lesen-lesen perladangan monokultur yang menjejaskan wilayah adat orang asal dan hutan pengeluaran terwarta dan hutan kerajaan, mestilah dikaji semula dan dibatalkan, apa pun jenis komoditi yang terlibat.

Selain itu, kabinet persekutuan juga mestilah memaklumkan perkembangan terkini tentang status laporan SUHAKAM tersebut. Telah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan dan negeri memberikan perhatian terhadap syor-syor laporan tersebut dan melindungi hak-hak orang asal di negara ini.

Kami juga menggesa agar kerajaan persekutuan dan negeri dengan segera memenuhi tuntutan kaum Penan di Kampung Batu Bungan. Pihak berkuasa juga mesti mengambil kira betapa  hampirnya wilayah adat ini dengan Taman Negara Gunung Mulu yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa.

Seperti yang telah ditunjukkan di sini, tidak semua kawasan lesen perladangan monokultur yang baru telah mula dibangunkan. Masih ada lagi peluang untuk kita melindungi banyak wilayah adat orang asal dan sejumlah liputan hutan yang sebenar-benarnya semulajadi, termasuklah di Kampung Batu Bungan di Mulu, Sarawak.

Kerajaan persekutuan telah dengan pantas memberikan sokongan kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan untuk memastikan pihak kerajaan negeri memenuhi tanggungjawab berdasarkan amanah (fiduciary) mereka untuk menghormati hak orang asal seperti yang dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan. Kami menggesa kerajaan persekutuan untuk mengambil pendekatan yang sama di Sarawak dan membantu melindungi kaum Penan di Kampung Batu Bungan dan lain-lain komuniti orang asal yang berjuang untuk melindungi hak tanah adat mereka dan hutan yang masih ada dari pencerobohan dan kemusnahan.

 

S.M. Mohamed Idris

Presiden

Join Donate